Asas Pendidikan Islam

Oleh kerana pendidikan Islam bersumberkan kepada Al-Quran dan hadis, maka asas pokok kepada pendidikan Islam berteraskan kepada akidah, ibadat dan akhlak.

Asas Akidah
Pendidikan Islam dibina berasaskan akidah Islam, iaitu akidah yang menyemaikan keyakinan kepada wujudnya Allah, menjelas dan menyatakan kepada muslimin tentang Rukun Iman yang menjadi teras kepada akidah yang sahih.
Muhammad Baisar (1973) menegaskan bahawa akidah yang sahih ialah akidah yang disampaikan kepada manusia yang bersumberkan kepada wahyu yang datang dari Allah sama ada tentang iktikad, perundangan dan akhlak. Akidah inilah yang menyelamatkan manusia dari kesesatan kepada petunjuk agama yang sebenar. Akidah inilah yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Islam yang dapat membezakan antara benar dan salah. Firman Allah yang bermaksud :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan mencegah dari melakukan kemungkaran serta kamu pula beriman kepada Allah”. (Al-Quran, Ali Imran : 110)
Al – Bazz (1986) mentakrifkan akidah yang sahih sebagai segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh orang Islam yang sesuai dengan dalil syarak, berasarkan Al-Quran dan Sunnah. Ia diterima oleh Allah dan merupakan kemuncak dan asas pegangan hidup muslim.
Akidah Islam yang menjadi asas kepada pendidikan Islam akan melahirkan manusia yang beramal, istiqamah, ikhlas dan akhirnya manusia yang dapat membezakan antara baik dan buruk, antara petunjuk dan sesat antara hak dan batil dan antara iman dan kufur. Ia membuat pilihan berteraskan akal yang dipandu oleh ilmu dan seterusnya ia dapat menangkis segala cabaran hidup di dunia dan di akhirat.

Asas Ibadat
Beribadah kepada Allah merupakan tujuan utama dalam hidup ini. Menyembah Allah bererti memusatkan penyembahan kepada Allah semata-mata dengan menjalani dan mengatur segala aspek kehidupan, lahir dan batin, jasmani dan rohani, baik dalam kehidupan individu sebagai hambaNya mahupun dalam hubungan sesama manusia sebagai anggota masyarakat. Jadi untuk menghasilkan tujuan hidup ini, satu daripada asas yang ditekankan dalam pendidikan Islam ialah asas ibadat, samada ianya berupa ibadat khusus ataupun ibadat umum. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.” (Al-Zaitun :56)

Asas Akhlak
Miqdad Yakhin mentakrifkan akhlak ialah prinsip-prinsip dan dasar atau kaedah yang ditentukan oleh wahyu untuk merialisasi ketertiban dalam pelakuan dan membatasi (bentuk) hubungan dengan orang lain sehingga mencapai matlamat kewujudan di dunia dengan cara yang paling sempurna. Mohd. Jawad Ridha (1972) pula menyatakan, akhlak ialah sifat terpuji yang sepatutnya di miliki oleh setiap orang. Sesebuah masyarakat tidak akan maju sekiranya ia tidak memiliki akhlak yang terpuji, kerana akhlak yang terpuji bermatlamat mendidik manusia kearah mencapai kemajuan dalam kehidupan.

Demikianlah pengertian akhlak dan ilmu akhlak yang menjadi asas kepada pendidikan Islam. Ia mempunyai matlamat untuk melahirkan insan yang berkeperibadian dan berwibawa tinggi sesuai dengan keperibadian Islam itu sendiri. Ia uga berhasrat untuk membentuk kesempurnaan diri manusia sehingga mencapai keindahan nafsani yang kekal abadi. Dalam konteks ini, al-Ibrasyi (1969) menyatakan bahawa pendidikan akhlak adalah jiwa pendidikan Islam. Puncak akhlak yang mulia merupakan sasaran murni dari segala pendidikan. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasullullah itu suri teladan yang baik bagimu, bagi orang – orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan keselamatan di hari kiamat dan banyak menyebut Allah”. (Al- Azhab: 21)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Sesungguhnya diutuskan aku untuk menyempurnakan akhlak. ”

Check Also

Menggali Lebih Dalam tentang Dogmatis: Apa Itu dan Bagaimana Ini Memengaruhi Pikiran Manusia?

Dogmatis adalah istilah yang sering digunakan untuk menggambarkan sikap atau keyakinan yang keras kepala dan …